Suamiku yang ku sayangi, kau harus sedar, diriku bukanlah milikmu sayang. Kita adalah milik Ya Malik dan Ya Kholiq. Oleh itu diriku tidak mampu untuk menghambakan diri kepadamu suamiku, kerana diriku hanyalah hamba kepada Tuhan yang menciptakanku dan Tuhan yang telah memberikan seluruh kasih dan sayangNya kepada diriku selama ini.
Suamiku yang ku sayangi, apa yang diriku lakukan kepadamu hanyalah kerana Dia Ya Rahman dan Ya Rahim dan Ya Wadud. Sesungguhnya suamiku sayang, kasih sayangmu, cintamu selama ini kepada diriku adalah sesungguhnya cinta dari Ya Wadud, kasihsayangmu adalah kasih sayang dari Ya Rahman dan Ya Rahim kepada diriku. Oleh itu diriku harus membalas cinta Allah itu dengan taat dan patuh kepadaNya dengan sepenuh hatiku.
Maafkanku suamiku sayang, diriku tidak mampu mencintaimu dan mengasihimu melebihi Tuhanku kerana Dia menyayangiku setiap masa, ketika diriku muda dan jelita dan ketika diriku tua dan tidak menawan lagi. Dia mencintaiku ketika kau suamiku akan melupaiku satu ketika nanti, ketika kau sudah tidak merasa diriku menawan dan menarik lagi, tetapi Dia Ya Wadud yang Maha Pencinta tetap mencintaiku dari dunia hingga akhirat walau bagaimana keadaanku sekalipun. Namun suamiku, diriku tetap menyayangimu kerana kau telah mengikut petunjukNya bagi mencintaiku dan melindungiku selama ini.
Suamiku sayang, sedarlah bahawa diriku hanya diutuskan oleh Allah kepadamu untuk kau membalas cinta kepadaNya dan Dia Ya Mani’ Yang Maha Mencegah telah menciptaku sebagai isterimu agar dapat membantumu memelihara dirimu daripada dosa dan lalai kepadaNya kerana Dia mahu kau sentiasa taat dan patuh kepadaNya, kerana dengan taat dan patuh kepadaNya sahajalah yang akan menjamin kebahagiaan hakiki di hari kemudian nanti.
Oleh itu suamiku sayang, sesungguhnya kita ini diciptakan oleh Ya Malik dan dipunyai olehNya dan kita akan kembali kepada Ya Mu’id Yang Mengembalikan dan Dia Ya Muhshi Yang Maha Menghitung akan menghitung setiap perbuatan kita didunia ini untuk diberikan balasan di akhirat nanti. Oleh itu suamiku, marilah kita bersama-sama berjalan diatas permaidani makrifatullah dengan bergantung sepenuhnya kepada Dia Ya Rahman dan Ya Rahim yang sentiasa menyayangi dan mengasihi kita.
25.2.09
Suamiku Yang Ku Sayangi
Wednesday, February 25, 2009
norfadhila
0 comments:
Post a Comment